TOKOH PENTERJEMAHAN ARAB
Ibn al-Batriq.
Beliau dikenali antara tahun 796M hingga tahun 806M Banyak buku Greek diterjemahkan oleh beliau. Antaranya ialah buku-buku karangan Galinus dan Abuqrat yang dipersembahkan kepada khalifah al-Ma’mun. Selain itu, beliau juga menerjemahkan buku-buku karangan Batlimus dan Aqlidah. Ternyata terjemahan beliau tidak berapa tepat sehingga terpaksa diterjemahkan semula pada zaman pemerintahan al-Rashid dan al-Ma’mun. Ini disebabkan oleh kaedah terjemahan yang beliau gunakan, iaitu terjemahan katawi. Ramai penerjemah mengikut kaedah terjemahan yang digunakan oleh Ibn al-Batriq (‘Aziz t. th.: 17).
Yuhana ibn Masawayh.
Beliau dikenali pada tahun 857M, merupakan guru Hunayn ibn Ishaq dan menerjemahkan teks-teks perubatan untuk khalifah al-Rashid (al-Jamili 1982/1391: 156-163).
Hunayn ibn Ishaq (809M-873M)
Hunayn ibn Ishaq mempelajari ilmu terjemahan daripada Ibn Masawayh. Beliau bekerja sebagai doktor peribadi khalifah al-Ma’mun yang kemudiannya dilantik sebagai ketua Bayt al-Hikmah oleh baginda, Hunayn menerjemahkan teks-teks yang ditulis dalam bahasa Greek ke bahasa Siryani terlebih dahulu. Kemudian beliau menyerahkan teks-teks yang telah diterjemahkan itu kepada anak murid dan sahabatnya untuk diterjemahkan pula ke bahasa Arab. Ini disebabkan beliau tidak fasih bertutur bahasa Arab. Satu contoh yang baik untuk diketengahkan di sini ialah Hunayn menerjemahkan buku Aristotle daripada bahasa Greek ke bahasa Siryani, kemudian anaknya Ishaq menerjemahkan karya tersebut ke bahasa Arab kerana Ishaq lebih arif dan lebih fasih berbahasa Arab berbanding bapanya. Oleh itu Ishaq dianggap lebih berjaya daripada bapanya dalam menerjemahkan buku-buku karangan Aristotle (al-Jamili 1982/1391: 225-249).
Comments
Post a Comment