HAK DAN ETIKA PENTERJEMAH DI MALAYSIA
Hak Penterjemah
Jika penulis
mempunyai hak terhadap karyanya, penterjemah pula mempunyai hak terhadap karya
terjemahan yang dihasilkan/diterbitkan. Jika nama penulis ditulis pada hasil
karya, nama penterjemah juga mesti dipaparkan pada karya/terbitan berkenaan
sebagai penterjemah. Jika tidak, nama penterjemah harus disebut pada mana-mana
bahagian penghargaan hasil terjemahan berkenaan.
Namun hak ini
tidak terpakai sekiranya penterjemah diupah oleh mana-mana badan/penerbit atau
terjemahan yang dihasilkan itu ditugaskan oleh badan yang
dipertanggungjawabkan, misalnya agensi, penerbit atau persatuan profesional.
Selain hak yang utama itu, seorang penterjemah profesional juga mempunyai hak lain seperti berikut:
-berhak menerima atau menolak sebarang tugas terjemahan.
-berhak meminta semua dokumen yang diperlukan untuk melakukan kerja terjemahan itu.
-Jika terjemahan dilakukan secara berkumpulan, semua penterjemah mempunyai hak sama terhadap karya terjemahan itu termasuk meletakkan nama pada teks sasaran.
-berhak menolak kerja yang tidak setaraf dengan tahap profesionalisme seorang penterjemah.
Prinsip Asas
Etika Penterjemahan
Sebagai
warganegara Malaysia, penterjemah haruslah mematuhi undang-undang negara yang
berpaksikan perlembagaan serta mendukung prinsip Rukun Negara. Inilah prinsip
asas etika penterjemahan.
Dalam merangka etika untuk penterjemah, beberapa faktor perlu dipertimbangkan agar etika tersebut dapat merangkumi semua aspek profesion penterjemahan. Antaranya:
-membantu negara mencapai aspirasi nasional melalui karya terjemahan.
-melaksanakan tugas berpandukan undang-undang negara dan Islam
-memastikan pemilihan bahan untuk terjemahan dapat menyumbang kepada pembinaan mental, kerohanian dan fizikal negara
-menolak kerja yang boleh memecahbelahkan negara dan menimbulkan ketegangan kaum dan agama
-mengelak unsur plagiarisme
-mengelak perlakuan memberi atau menerima rasuah untuk mendapatkan kerja terjemahan
-menjaga adab peribadi dan professional
-menghormati dan menyimpan rahsia pelanggan
-menolak harga rendah bagi menjaga harga pasaran industri penterjemahan.
-menolak kerja yang menjejaskan kredibiliti penterjemah.
Profesion
penterjemahan perlu bernaung di bawah satu badan khusus yang dapat mengawal
selia industri penterjemahan keseluruhannya. Badan ini boleh berbentuk sebuah
majlis yang dianggotai oleh organisasi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan
kerajaan dan institusi pengajian tinggi yang terlibat secara langsung atau
tidak langsung dalam bidang penterjemahan seperti DBP, ITBM dan PPM.
Selain isu
etika, majlis ini juga boleh menetapkan kadar bayaran standard untuk setiap
kerja terjemahan bagi menjamin industri ini diterima sebagai satu sektor yang
menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Dengan
tertubuhnya majlis ini, usaha untuk mewujudkan satu Dasar Penterjemahan Negara
bolehlah digerakkan secara bersepadu. Dasar ini perlu dibentangkan di Dewan
Rakyat dan kemudian dijadikan akta yang mungkin dinamakan sebagai Akta
Terjemahan sebagai platform untuk memartabatkan industri terjemahan negara dan
menjadikannya sebagai aktiviti ekonomi yang turut menyumbang kepada Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK).
Comments
Post a Comment